Soursop
Soursop merupakan perkataan yang digunakan di Brazil untuk buah durian belanda. Ia ditemui secara meluas di kawasan hutan tropika Asia Tenggara, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Soursop juga dikenali sebagai Annona muricata di dalam dunia botani.
Saintis Barat telah mula mengkaji soursop secara aktif sejak tahun 1970-an kerana soursop dipercayai mengandungi banyak manfaat untuk kesihatan. Popularitinya semakin meningkat kebelakangan ini apabila ia dijual sebagai suplemen kesihatan untuk merawat kanser, penyakit kencing manis dan sebagai sedative untuk mengurangkan stress dan mengawal penyakit darah tinggi. Daunnya mempunyai lebih banyak khasiat berbanding buahnya. Jadi tidak hairanlah jika permintaan terhadap daun soursop sangat tinggi di pasaran.
Manfaat
Di dalam perubatan traditional, daun soursop digunakan untuk merawat masalah perut, demam, sakit sendi, jangkitan saluran kencing dan merangsang penghadaman.
Ia juga digunakan di kalangan pengamal herba sebagai rawatan kepada penyakit darah tinggi – mengurangkan tekanan darah, mengawal kadar denyutan jantung dan pengembangan salur darah, mengawal kemurungan dan sebagai sedatif.
Ekstrak daripada buahnya pula bertindak sebagai antivirus, anti-keradangan, mencegah diabetes dan mengawal kenaikan paras gula di dalam darah. Buahnya turut digunakan untuk merawat penyakit berjangkit.
Wanita hamil dan penghidap Parkinson tidak seharusnya mengambil soursop dalam apa jua bentuk kerana ia berpotensi untuk mengganggu fungsi sel saraf.
Adakah Soursop Anti-Kanser?
Beberapa kajian telah dibuat untuk membuktikan soursop berkesan untuk membantutkan pertumbuhan dan membunuh sebahagian jenis sel kanser. Walau bagaimanapun kajian ini hanya terhad kepada kajian makmal dan belum diuji terhadap manusia. Oleh itu, soursop tidak diiktiraf secara saintifik sebagai rawatan dan pencegahan terhadap kanser.
Pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi hendaklah mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum menggunakan soursop.
Kegunaan Soursop
Oleh kerana daun soursop mengandungi banyak khasiat, ia biasanya diminum dengan cara merendam daunnya sehingga air berwarna kehijauan atau diproses untuk dijadikan teh. Tidak digalakkan untuk memakan daun soursop kerana kandungan fibernya yang tinggi membuatkan daunnya sukar dikunyah dan tidak mesra pada lidah.
Buah soursop biasanya dimakan begitu sahaja. Bagi sesetengah bangsa buah soursop yang muda dinikmati dengan memasukkanya ke dalam sup, digoreng atau dibakar. Bijinya mengandungi minyak beracun. Masyarakat orang asli menggunakan minyak dari bijinya untuk merawat kutu kepala, menghalau hama tilam, cacing serta serangga parasit yang lain.
Cara Meminum Soursop
Ambil 2-3 helai daun soursop dan campurkan ke dalam 1-2 cawan air mendidih. Kecilkan api dan reneh selama 20-30 minit.
Pengambilan soursop melalui cara meminumnya tidak boleh dilakukan secara berterusan. Sebaiknya pastikan ada senggang waktu, sebagai contoh, minum air rendaman atau the soursop untuk 2-3 hari sahaja seminggu.